Wow ini sangat bahaya. Kerana nanti semua rumah-rumah di Malaysia ada peta dalaman, maka mudahlah jika serangan ingin dilancarkan kerana pihak musuh telah mempunyai data-data bagaimana bentuk dalaman sesebuah rumah.
Benarkah?
Saya menulis artikel ini kerana bila saya terbaca perdebatan antara puak POKEMON GO dan puak anti-POKEMON GO, mesti akan ada yang akan memberi maklumbalas bahawa POKEMON GO boleh memetakan struktur dalaman rumah/bangunan.
Jawapannya: POKEMON GO tidak mampu untuk memetakan susun atur dalaman rumah anda. (Walaupun JIKA mereka ingin menggunakan kaedah GPS terkini untuk memetakan dalaman rumah anda, mereka akan mengalami kesukaran seperti kesukaran seorang jurulatih haiwan yang ingin melatih seekor kucing membawa surat rahsia dari Kuala Lumpur ke Thailand (tanpa bantuan manusia). Dapat kiasan tu? Hampir mustahilkan.
Dalam kes ini saya tidak mahu membahaskan keputusan mufti berkenaan status haram permainan ini. Itu kepakaran mufti, itu saya tidak mahu masuk campur dan tidak mahu ulas atas dasar terhadnya ilmu dalam bidang tersebut. Apa yang saya ingin ulas hanyalah berkaitan teknikal GPS dan kebolehannya (jika ada) untuk memetakan/mapping struktur dalaman rumah/bangunan. Untuk memperbetulkan salah tanggapan masyarakat tentang teknologi GPS.
GPS ialah singkatan untuk Global Positioning System. Alat GPS anda (dalam kes ini ialah smartphone anda) ialah sejenis penerima isyarat gelombang radio (RF signal) yang mengukur jarak terkini anda (kedudukan) menggunakan satelit GPS yang sedang berputar mengelilingi bumi. Ada 24 buah satelit GPS (21 berfungsi dan 3 sebagai gantian/spares) yang sentiasa mengelilingi/mengorbit bumi. Ingat, kata kuncinya ialah smartphone anda menerima isyarat radio dari satelit GPS, pemahaman ini akan memudahkan anda untuk faham kenapa smartphone tidak akan berjaya memetakan susun atur dalaman rumah anda.
Signal GPS adalah sangat-sangat lemah. Signalnya boleh dihalang SECARA EFEKTIF dengan hanya dinding dan atap rumah anda. Bahan-bahan metal adalah bahan yang efektif/berkesan untuk menghalang signal GPS. Dengan hanya sekeping aluminium foil sahaja anda sudah berjaya untuk menghalang isyarat satelit GPS daripada diterima oleh alat GPS anda (smartphone).
Itu baru halangan fizikal, belum lagi kita bercerita tentang halangan alam sekitar yang boleh menjejaskan kualiti isyarat GPS yang diterima oleh alat GPS kita (smartphone). Memandu (menggunakan) alat GPS di laluan yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang tinggi juga mengganggu isyarat satelit GPS. Isyarat satelit GPS tidak terus diterima oleh alat GPS anda (smartphone) tetapi akan melantun (bounce) terlebih dahulu apabila terkena bangunan-bangunan tinggi itu tadi. Ini akan menjejaskan kualiti isyarat yang diterima oleh alat GPS anda seterusnya memberikan bacaan koordinat (lokasi) yang salah/ tidak tepat.
Penggunaan fibreglass (bahan gentian kaca) dikatakan tidak menghalang isyarat GPS berbanding dengan material binaan rumah/bangunan yang lain. Ya, mungkin lah boleh di peta kan rumah yang diperbuat fibreglass. Tetapi ada kah orang yang membuat rumah keseluruhannya daripada fibreglass? Nak buat bumper kereta fibreglass sahaja dah mencecah RM800 (gred rendah). Ini kan mungkin pula ada pemain POKEMON GO yang memiliki rumah diperbuat daripada fibreglass keseluruhannya. Hebat!
Dengan hanya memandu (atau berjalan) dibawah laluan yang dilitupi kanopi yang tebal (ditutup oleh pokok-pokok yang amat rimbun) pun sudah cukup untuk menggagalkan pin-point kedudukan yang tepat alat GPS. Inikan pula sebuah rumah yang ada atap dibina daripada batu/kayu keras, lagi lah isyarat satelit GPS akan gagal untuk diterima dengan baik oleh penerima GPS (smartphone). Dengan keadaan ini, bagaimana nak peta kan kedudukan dalaman rumah/bangunan?
Memang telah ada teknologi yang seakan GPS yang boleh memandu (tunjuk-arah) dalam sesebuah bangunan, seperti teknologi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Israil, Shopcloud. Namun teknologi ini memerlukan pemilik bangunan itu menghantar sendiri pelan/peta bangunan mereka kepada syarikat Shopcloud sebelum mereka mapping susun-atur dalaman bangunan itu dan akhirnya pengunjung dapat menggunakan smartphone mereka seumpama menggunakan alat GPS. Bezanya kali ini mereka dapat gunakan bantuan tunjuk arah di dalam bangunan. Tetapi cuba fikirkan, dalam kes ini pemilik bangunan yang terpaksa menghantar terlebih dahulu peta susun atur dalaman bangunan kepada syarikat Shopcloud, bukannya bangunan itu yang dipetakan menggunakan GPS. Idea yang hampir sama ini juga digunakan oleh syarikat seperti Navvis, Smartsense dan juga UnLoc.
Isyarat satelit GPS juga mudah terganggu dengan peralatan-peralatan eletronik yang berdekatan dengan penerima GPS tersebut (smartphone). Jika peralatan GPS (smartphone) anda digunakan berhampiran dengan komputer, televisyen, radio dan ketuhar gelombang mikro, kualiti isyarat GPS yang diterima akan terjejas teruk. Bagaimana untuk memetakan dalaman rumah dengan GPS? Sudah pastilah kediaman-kediaman masakini ada memiliki peralatan-peralatan eletronik yang lain, yang mampu “divert’ ketulinan isyarat GPS itu tadi.
Mungkin pembaca sekalian akan mengatakan bahawa artikel ini kurang tepat kerana semasa di rumah, anda masih ‘dapat’ isyarat GPS walaupun rumah anda diperbuat daripada dinding batu (yang kononnya menghalang isyarat GPS). Tapi kenapa ‘dapat’ isyarat satelit GPS? Ye tak? Mohon jangan terpedaya dengan signal GPS yang anda dapat itu. Itu hanya isyarat ‘GPS secara bantuan’. Dengan kata lain, itu ialah A-GPS alat anda (smartphone). A-GPS juga dikenali dengan nama Assisted GPS bukanlah data lokasi yang tepat, tetapi ia menggunakan data lokasi jangkaan daripada pencawang telefon selular anda (atau wifi). A- GPS ini hanya untuk membantu alat GPS terutamanya telefon selular untuk mendapat kedudukan lokasi dengan cepat (fast satellite fix). Namun dengan hanya berharap kepada data A-GPS, rumah anda mungkin ditunjukkan berada di sekitar pencawang telefon (kerana tanpa data GPS DARI SATELIT, ia menggunakan data lokasi jangkaan pencawang telefon yang berhampiran dengan anda. Bagaimana POKEMON GO nak memetakan struktur dalaman rumah anda DENGAN TEPAT jika ia hanya mendapat isyarat jangkaan sahaja (A-GPS)? Nanti bilik tidur tersilap di petakan sebagai bilik mandi rumah sebelah… haha. Haru.
Mungkin juga nanti ada yang cuba mencantas artikel ini dengan mengatakan satelit GPS di ruang udara juga ada memancarkan signal radio P-code. Dan P-code inilah yang digunakan untuk memetakan susun atur didalam rumah oleh kerana ketepatannya yang lebih tinggi. Baiklah, untuk pengetahuan anda, ada dua jenis signal radio yang dipancarkan oleh GPS satelit di ruang udara iaitu radio signal C/A-code dan P-code. Kebanyakkan peralatan orang awam menggunakan signal C/A-code. Manakala pengguna primer P-code pula ialah U.S military. P-code ini lebih sukar untuk ditipu dan data-data daripada P-code ini semuanya di hantar (transmit) dengan encryption (dalam bahasa rahsia) serta memerlukan peralatan yang lebih canggih untuk membolehkan ia digunakan dengan baik. Mungkin setakat smartphone RM3 ribu belum tentu dapat diaplikasikan kelebihan P-code ini.
Maka, mungkinkah alat GPS dapat memetakan (mapping) struktur dalaman bangunan? Dengan segala limitation GPS ketika artikel ini ditulis, mapping dalaman struktur bangunan/rumah setakat ini mungkin belum boleh direalisasikan sepenuhnya jika hanya bergantung kepada kemampuan smartphone masakini.